Thursday 29 January 2015

Putus Tunang Dalam Islam


Pertunangan adalah langkah permulaan kepada perkahwinan. Lazimnya pertunangan adalah mengikut adat dalam sesuatu masyarakat. Islam tidak menetapkan bentuk atau cara pertunangan seharusnya dilakukan . Ia dibenarkan selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip asas hukum syarak.
Pertunangan yang diamalkan oleh masyarakat Islam kini membawa banyak faedah dan kebaikan kepada pasangan yang bertunang. Hal ini kerana ia dapat merapatkan hubungan kekeluargaan di antara kedua-dua pihak.
Begitu pun, pertunangan tidak menghalalkan hubungan seperti suami isteri. Perkara ini bermakna walaupun pasangan itu telah bertunang, batas yang ditetapkan oleh hukum syarak hendaklah dipatuhi.

Bertukar-tukar hadiah secara tidak langsung membawa kepada perasaan saling hormat menghormati dan menjalinkan kemesraan sebelum mempelai itu diikat melalui talian perkahwinan.
Majlis pertunangan tidak dinyatakan dengan terperinci dalam Islam. Namun adat yang diamalkan itu boleh juga dianggap sebagai undang-undang Islam kerana ia bersumberkan kepada adat.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud sesuatu yang dianggap baik oleh umat Islam maka adalah baik di sisi Allah.
Apabila seseorang itu sudah bertunang, ini bermakna dia telah mengikat suatu perjanjian yang dikenali sebagai perjanjian pertunangan dan mengharapkan suatu masa yang ditentukan nanti mereka akan berkahwin. Bagaimanapun, ada kalanya perjanjian pertunangan ini tidak ditunaikan sama ada dengan sengaja atau melalui paksaan.
Akibat daripada putusnya perjanjian pertunangan itu, mesti ada pihak yang menanggung malu dan perasaan tertipu seperti yang saudari alami. Undang-Undang Keluarga Islam memberikan hak kepada mana-mana pihak yang terkilan akibat putus tunang untuk mendapatkan semula segala pemberian sama ada dalam bentuk barangan yang dihadiahkan atau wang ringgit.
Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam memberi hak kepada seseorang itu menuntut sedemikian.
Seksyen itu memperuntukkan bahawa jika seseorang itu mengikat suatu kontrak pertunangan mengikut hukum syarak sama ada secara lisan atau bertulis, dan sama ada secara sendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi kepada kontrak itu tanpa apa-apa sebab yang sah, manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada atau nilainya, dan membayar apa-apa wang yang sudah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.

No comments :

Post a Comment