Monday 2 February 2015

HARGA MINYAK TERKINI - KERAJAAN SUDAH BERSEDIA MENGHADAPI KESAN NEGATIF

KREDIT : aSRTRO aWANI      

 
Kerajaan sudah sedia hadapi kesan negatif kejatuhan harga minyak
 
                                                                       
Trend menurun harga minyak global diramal berpanjangan untuk tempoh setahun akan datang. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Trend menurun harga minyak global diramal berpanjangan untuk tempoh setahun akan datang.

Biarpun spekulasi menyatakan penurunan ini dijangka mendatangkan krisis besar kepada ekonomi negara, pakar ekonomi memberitahu kerajaan telah bersedia untuk menangani kesan negatif akibat kejatuhan harga minyak.


Menurut ketua penyelidik runcit Affin Investment, Datuk Dr Nazri Khan, dalam tempoh lima bulan, Bursa Malaysia telah jatuh sembilan peratus, ringgit merosot 11 peratus dan minyak merudum 40 peratus.

Ujarnya, kesan-kesan negatif kejatuhan harga minyak akan mempengaruhi Malaysia menerusi dua cara iaitu mengurangkan pendapatan syarikat korporat di antara dua dan tiga peratus tahun depan dan menjejaskan pendapatan peniaga terutama di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, menurut ketua ekonomi Bank Islam, Asfanizam Abdul Rashid, kerajaan telah membuat persediaan awal bagi mengurangkan risiko kesan daripada penurunan harga minyak ini.

Jelasnya, menerusi reformasi fiskal, kerajaan bertindak mengurangkan subsidi bahan api dan mengambil langkah melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan, GST, bermula April 2015.

Katanya, langkah rasionalisasi subsidi ini berupaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan sehingga RM24 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2015.

Manakala menerusi GST, kerajaan bakal memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM26 bilion setahun.

Menurut Asfanizam lagi, walaupun langkah yang diambil kerajaan itu dianggap kurang popular, tindakan ini dipercayai mampu mengimbangi pendapatan negara yang dikhuatiri terjejas akibat kemerosotan hasil minyak.

Sementara itu, ketua penyelidik Inter Pacific Research, Pong Teng Siew ketika dihubungi Astro Awani tidak menolak kemungkinan kerajaan akan mengambil langkah berjimat cermat bagi mengimbangi penurunan hasil kerajaan kesan daripada penurunan pendapatan daripada industri minyak dan gas.

Kerajaan juga, katanya, mungkin menangguh beberapa projek infrastuktur sehingga harga minyak dunia kembali stabil.

Namun, katanya, hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran defisit tiga peratus pada tahun hadapan diramal sukar. Ini berikutan hasil tambahan daripada pengurangan subsidi dan GST masih belum cukup untuk menampung perbelanjaan kerajaan pada 2015.

Teng Siew menjangka defisit negara mencecah kadar melebihi 4% pada 2015.

No comments :

Post a Comment