Monday 2 February 2015

LAMBAKAN AKHBAR ASING PART 2 - PERCETAKAN TEMPATAN TERLIBAT

 

Percetakan tempatan bersekongkol


Oleh Syed Azwan Syed Ali dan Abu Bakar Al Sidek
    

 
SUSULAN BH BONGKAR: PENDATANG JADI TAUKE
Bagan Datoh: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenal pasti beberapa syarikat percetakan tempatan yang bersekongkol mencetak akhbar asing tanpa permit di negara ini untuk dijual kepada warga asing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata siasatan mendapati semua syarikat percetakan itu dimiliki rakyat tempatan dengan tenaga kerja yang mengeluarkan bahan penyiaran akhbar itu dikendalikan warga asing.
Katanya, syarikat terbabit sedang disiasat dan tindakan undang-undang akan dikenakan selepas kertas siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
"Saya tidak boleh sebut jumlah syarikat percetakan itu kerana kes ini akan dibawa ke mahkamah," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat Projek Pembangunan Pekan Kecil Bagan Datoh, di sini, semalam.
Sehingga minggu lalu, KDN melalui Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran merampas 3,500 naskhah akhbar berbahasa Myanmar, Bangladesh dan Nepal, yang dijual tanpa permit.
Tindakan drastik itu adalah susulan pendedahan BH pada 3 Januari lalu mengenai pengedaran dan penjualan akhbar asing tanpa permit di kawasan tumpuan warga asing, khususnya di ibu negara, sehingga menimbulkan kebimbangan banyak pihak.
BH sebelum ini melaporkan mengenai lambakan akhbar asing dari Myanmar, Bangladesh dan Nepal yang dijual tanpa permit, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai ancaman keselamatan negara kerana kandungan akhbar asing tidak dikawal dan dipantau pihak berkuasa.
Tinjauan BH juga mendapati akhbar yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan warga asing itu memaparkan gambar lucah, iklan arak dan mengandungi iklan membabitkan kepentingan warga asing seperti perkhidmatan agensi pekerjaan, khidmat kesihatan dan logistik.

No comments :

Post a Comment